sekadar ingin berkongsi

Daisypath Anniversary tickers Lilypie Pregnancy tickers

Isnin, 28 Mac 2011

Perkongsian: Tiada cinta sebelum nikah?

oh..adakah ak da sesat dlm permainanku sndiri?? na'uzubillah..(-.-)"

Perkongsian: Tiada cinta sebelum nikah?
Sep 7th, 2010 by Hilal Asyraf.

Kamu, kamu dan kamu. Jangan rosakkan cinta. t

Tiada cinta sebelum nikah.

No love before akad.

Cinta hanya selepas kahwin.

Dan bla bla bla bla bla….

Ayat yang seringkali aku baca, dan sering kali aku dengar.

Tetapi, aku tak pernah sama sekali setuju dengannya.

Kerana pada aku, cinta sebelum nikah itu ada.

Aku kira, yang patut tiada sebelum nikah adalah hubungan intim seperti suami isteri. Cinta, pada aku, sebelum nikah lagi memang sepatutnya perlu diwujudkan.

Oh, lainlah kalau definisi cinta kamu, telah kamu rendahkan dengan menganggap ‘bercinta’ itu adalah ‘bercouple, pegang-pegang tangan, berhubungan tanpa batas’ dan sekutu-sekutunya.

Maaf. Cinta aku mahal, dan tidak serendah itu.

Sebab itu cinta aku yang mahal itu, wujud sebelum bernikah lagi.



Cinta yang sebenar

Couple itu maknanya cinta? Hubungan intim lelaki perempuan yang bukan mahram tanpa batasan itu cinta?

Maaf. Jika kamu panggil itu sebagai ‘bercinta’, tandanya kamu telah menjatuhkan harga cinta. Untuk aku, itu semua bukan cinta. Cinta adalah suci. Bersih. Dan ianya membawa ke syurga.

Cinta mestilah dibina dari keimanan, dan dicari berlandaskan petunjuk Allah SWT.

Cinta adalah perasaan, yang wujud di dalam jiwa dan diterjemahkan dalam bentuk amal.

Menolak sahabat ke dalam api, itu bukan namanya akung sahabat, walaupun sebelum menolak sahabat itu ke dalam api, sudah 1000 kali diucapkan: Ana saynag enta, sahabat ana.

Melempar pasangan ke dalam neraka, dengan melanggar arahan-arahan Allah, itu bukan namanya bercinta. Walaupun kamu sering gunakan perkataan ‘cinta’ dalam hubungan kamu.

Cinta lebih suci dari apa yang kamu jangka.

Dan ‘cinta’ yang asli ini, tidak sepatutnya diharamkan sebelum bernikah.


Cinta sebelum kahwin

Kalau benar cinta kepada pasangan kamu, maka kamu akan menjaga diri kamu dari laranganNya. Kamu tidak akan melempar pasangan kamu ke neraka dengan mengajaknya bermaksiat kepada Allah SWT.

Kalau kamu benar cinta, kamu akan meminta petunjuk Allah dan berkira-kira. Kamu akan list pro dan kontra serta muhasabah kembali perasaan yang hadir di dalam diri kamu. Kemudian bila benar-benar sudah tetap hatinya, lanjutkan dengan lamaran tanda kamu benar-benar serius. Yang lelaki boleh terus kepada keluarganya, yang perempuan boleh menghantar wakil untuk bertanyakan lelakinya.

Tapi pastikan kamu benar-benar siap. Bukan istikharah semata-mata. Tetapi ada perancangannya juga. Perancangan dunia kamu, dan perancangan akhirat kamu. Ini kalau kamu benar-benar cinta.

Kamu berhubungan atas perkara yang sangat-sangat-sangat penting sahaja dan kamu tidak berlengah-lengah dalam meninggalkannya ketika urusan selesai.

Untuk lelaki, kamu bina hubungan yang erat dengan kedua ibu bapanya, dan adik beradik lelakinya, untuk berta’aruf dengannya.

Untuk perempuan, kamu bina hubungan yang erat dengan ibunya dan adik beradik perempuanya, serta saudara mara perempuan yang dia ada untuk berta’aruf dengannya.

Kamu siapkan diri kamu untuk menjadi suami@isteri yang baik untuk pasangan kamu. Kamu tekankan pada diri kamu untuk lakukan perubahan dengan memandang bahawa kamu mesti hendak membahagiakan pasangan kamu sebahagia-bahagianya. Dan apakah yang lebih bahagia dari mendapat keredhaan Allah dan masuk ke syurga bersama-sama?

Dan pantaskan urusan perkahwinan kamu. Jatuhkan dengan segera perkara-perkara yang menghalang perkahwinan kamu dari berlangsung dengan cepat. Itu satu tanda cinta.

Kalau kamu tanya akan cinta aku.

Maka cinta aku begitulah.


Kamu yang syok sendiri tanpa memahami cinta

Kamu-kamu yang bercouple dan memusnahkan erti cinta yang sebenar, aku terkilan dengan kamu.

Kamu-kamu yang bercinta dengan cara yang salah, aku terkilan dengan kamu.

Hal ini kerana, wujudnya kamu dan kesalahan kamu, membawa kepada orang-orang tertentu mengharamkan terus cinta sebelum wujudnya pernikahan.

Kamu-kamu yang mengharamkan terus segala jenis cinta sebelum nikah, aku juga terkilan dengan kamu.

Islam datang mengajar kita mengawal perasaan. Bukan menghapuskannya.

Jadi yang halal diharamkan hanya kerana ada yang salah menggunakannya.

Maka sepatutnya dididik bagaimana untuk bercinta dengan sebenarnya.

Apakah jika ada orang belajar untuk membuat nuklear dan mengebom sesebuah tempat, maka ‘belajar’ itu diharamkan dan matapelajaran ‘nuklear’ itu patut diharamkan?

Semestinya tidak.

Apakah apabila Allah menimbulkan rasa cinta di dalam jiwa seseorang, kamu hendak menyalahkan Allah atas perasaan cinta yang Dia munculkan?

Maka sepatutnya kamu, membina satu garis yang jelas. Antara cinta, dan ‘cinta’.

Bukan hanya syok sendiri dengan ‘cinta suci’ buat ‘golongan kamu’ sahaja.


Aku tidak menghalalkan yang haram, juga tidak mengharamkan yang halal

Aku di sini bukan hendak menghalalkan yang haram. Aku nyatakan di sini, couple dan segala apa yang Allah larang, untuk aku itu semua bukannya cinta. Justeru apabila aku katakan cinta, couple tiada kaitan dengannya. Keluar berdua-duaan tiada kaitan dengannya, bergayut dalam telefon tiada kaitan dengannya. Sms-sms tak ada makna, atau sms-sms ‘tazkirah bohong’ tak ada kena mengena. Salut-salut nama ‘dakwah’ untuk meng’halal’kan perhubungan juga tak ada kena mengena.

Cinta yang aku kata ini, bebas dari semua itu.

Aku juga tidak akan sesekali mengharamkan yang halal. Sebab itu aku berdiri di sini dengan pegangan ini.

Untuk aku, yang halal bila disalah guna, benar ia menjadi haram.

Maka masalah di sini bukanlah yang halal itu.

Masalah di sini adalah ‘pengawalan’ itu.

Sekelompok manusia yang gagal mengawal, itu bukan bermakna ia haram untuk semua manusia. Lainlah perkara itu jelasnya haram secara qat’i, sebagaimana arak. Walaupun mungkin sekelompok sahaja yang mabuk, tetapi ia tetap haram kepada semua.

Cinta yang hakiki, bukannya arak!


Lihatlah dia, lihatlah kesederhanaannya

Guruku, mudirku, Ustaz Dahlan Mohd Zain, pernah satu hari membicarakan hal perkahwinan dan hubungan sebelum kahwin di dalam kelas. Keluar dari pelajaran kami yang sebenarnya, Fiqh Sirah Nabawi pada hari itu.

Lihatlah antara soalan yang muncul, dan bagaimana sederhananya jawapan dia.

“Ustaz, boleh ke kata cinta pada tunang kita?”

“Boleh, tapi kena benar-benar dengan cinta yang betul la. Bukan main-main”

Maka aku terjemahkan ‘benar-benar dengan cinta yang betul,’ itu, adalah apabila ia dipandu keimanan, di atas syara’, dan kena pada keadaan serta keperluan pengucapan itu. Bukan diucap atas dasar nafsu, atau semata-mata kerana rindu, atau kerana ingin bermanja-manjaan.

“Ustaz, boleh ke nak jumpa tunang?”

“Boleh, tapi kenalah bawa keluarga sekali. Ajak mak ayahnya makan bersama ke. Masa tu jumpa la.”

Bukannya tidak dibenarkan berjumpa langsung.

Tetapi ada caranya. Ada ketikanya. Ada adabnya.

Ustaz Dahlan mengajar aku, untuk tidak mengharamkan sesuatu yang halal, tetapi melihat apakah yang membawa kepadanya menjadi haram, dan membasmikan masalah itu.

Dan jawapan-jawapannya adalah jawapan yang menyenangkan jiwa. Lihatlah uslubnya.

“Boleh…” Mendengar jawapan ini terlebih dahulu, jiwa jadi lapang. Oh, Islam ini tidak berat ya…

“Tapi kenalah…” Dan syarat selepas itu menjadi ringan untuk dilakukan kerana hendak mencapai ‘boleh’ tadi.

Ustaz Dahlan, secara tidak langsung, menundukkan nafsu pada kawalan syara’ hanya dengan jawapannya yang mudah itu. Dan jawapannya sesuai untuk umum. Bukan hanya untuk orang dakwah sahaja, bukan hanya untuk yang tidak belajar agama sahaja. Jawapannya betul untuk semua.

Dan aku hidup dengannya, menyerap segala didikannya, jadilah aku sebagai aku.

Dan jadilah cinta aku seperti ini.


Penutup: Kamu, jangan murahkan cinta, dan memandang rendah kepadanya

Kamu, jangan murahkan cinta dan memandang rendah kepadanya.

Jangan kamu salahkan cinta kerana kesalahan-kesalahan kamu atau orang lain.

Kalau kamu lemah hendak mengangkat cinta pada pundakmu, maka kuatkanlah dirimu itu. Bukan memandang rendah orang lain, atau meyalahkan orang lain, yang bercinta dengan cintanya yang betul.

Aku tidak mewajibkan cinta sebelum nikah. Tetapi yang aku ingin jelaskan di sini adalah, jika ia wujud, maka itu bukan satu kesalahan. Yang perlu adalah pengawalan agar ia tidak keluar dari definisi cinta yang sebenar.

Definisi cinta aku adalah = ingin masuk syurga bersama.

Apakah cinta kalau melempar pasangan ke neraka?

Untuk aku, inilah dia kefahaman aku. Inilah dia cinta aku.

Oh ya, dan aku belum bernikah.

Sabtu, 5 Mac 2011

SAYA NAK! SAYA NAK!

LALUAN MENUJU KE KUBUR

*Jauhkan dari perbuatan mengumpat & mengeji

*Hindarkan perasaan irihati ( benci )

*Jangan terpengaruh dengan harta dunia

*Sucikan qadha' hajat dgn istibra ( berdehem selepas buang air kecil )



LALUAN UTK BERJUMPA IZRAIL

*Bersihkan diri dgn bertaubat

*gembirakan hati orang mukmin

*Bayar semula kadha ( Solat & puasa ) yang tertinggal

.*Kasih sepenuh hati pada Allah Ta'ala



LALUAN UTK BERJUMPA MUNGKAR NANGKIR

* Mengucap dua kalimah syahadah

* suka memberi Sedekah

* Berkata Benar

* Bersihkan dan perbaiki diri



LALUAN UTK MEMBERATKAN PERTIMBANGAN

* Belajar atau mengajar ilmu yang bermanfaat

* Sucikan perkataan dan pakaian

* Bersyukur dgn yang sedikit

* Suka dan redha dgn yang didatangkan oleh Allah



LALUAN MEMANTAPKAN AMALAN

* Jauhkan perkataan sia-sia

*Pendekkan cita-cita dunia

* Banyakkan puji pujian kepada Allah

* Banyakkan sedekah dan khairat



LALUAN MELALUI TITIAN SIRAT AL MUSTAKIM



* Kasihanilah aulia Allah Ta'ala*

* Berbaktilah pada ibu bapa

* Berpegang teguh pada hukum syarak

* Bercakap perkataan yang baik sesama manusia



LALUAN MENJAUHKAN DIRI DARI NERAKA

* Banyakkan membaca al-quran

* Banyakkan menangis kerana dosa dosa lalu

* tinggalkan perkara yang maksiat

* Jauhkan segala yang haram



LALUAN UTK MEMASUKI SYURGA

* membuat kebajikan seberapa yang boleh

* Kasihi orang yang soleh

* kerjakan segala suruhan allah

* Merendahkan diri di antara sesama makhluk



LALUAN BERJUMPA DENGAN NABI MUHAMMAD



* kasihilah nabi Allah Taala

* kasihilah Rasullullah

* tuntutilah yang difardukan oleh Allah Taala

* banyak selawat Nabi SAW



LALUAN UTK BERTEMU ALLAH



*Serahkan seluruh jiwa raga kepada Allah Taala

* Hindarkan diri dari menderhaka kepada Allah Taala

* betulkan dan baikkan i'tikad kepada Allah Taala

* Bencikan segala yang diharamkan Nya."

Jumaat, 4 Mac 2011

JODOH- mencari @ menunggu?

di copy n pasted from iluvislam...hm..slalu gak bace artikel mcm ni...tyme bace mmg insaf... tp lame2 lupa balik...aisyy..bile la nk istiqomah,,.hrp2 bila aku letak kt cni..bole la jd peringatan utk aku..dan mgkin juga utk kalian=) insyaAllah...hm.
http://www.iluvislam.com/keluarga/perkahwinan/1726-jodoh-mencari-atau-menunggu.html
................................................................................................
Saya tertarik dengan satu soalan yang dibawakan oleh seorang user komuniti.iluvislam berkenaan jodoh.

Persoalannya,"Betulkah kita hanya menanti si bulan (si dia) yang bernama jodoh? Usaha tidak perlu ke?"

Pada mulanya saya tersenyum.

Yelah, lagi-lagi jodoh. Lagi-lagi isu jodoh.

Namun, setelah saya fikir-fikirkan kembali. Soal jodoh ini bukan suatu soal yang boleh diremeh-remehkan sebenarnya. Saya kira, hampir setiap dari manusia itu akan melalui satu tahap di mana mereka akan mula memikirkan tentang persoalan jodoh.

Justeru, silap dalam kefahaman terhadapnya mampu memberi kesan negatif yang cukup besar terhadap masyarakat. Gejala sosial yang menular dengan sungguh dahsyatnya pada masyarakat kita kini juga tidak dapat tidak, salah satu faktornya adalah kesilapan dalam memandang isu jodoh ini.

Jadi akhirnya, saya memilih untuk menulis tentang isu evergreen itu di sini.
Ramai yang keliru

Jika kita lihat pada masyarakat sekeliling kita hari ini, dapat kita simpulkan bahawa ramai yang keliru berkenaan persoalan jodoh.

Sejak di bangku sekolah lagi kita dapat melihat remaja-remaja kita ramai yang sudah mula 'mencari' jodoh mereka. Untuk mencari 'kecocokan', mereka mula kenal-mengenal. Surat-surat cinta, sms, dan berbagai cara lagi mereka gunakan untuk memastikan adakah si dia itu 'jodohku'?

Kemudian, gejala ini berlaku dengan semakin rancak apabila pelajar-pelajar mula masuk di universiti-universiti. Ramai yang tidak mahu kelepasan dalam 'berusaha' untuk jodoh mereka. Dengan kemudahan IT yang lebih canggih, sms,chatting, e-mail, dan facebook digunakan untuk mencari pasangan idaman mereka. Kemudiannya, ramai yang terjebak dengan gejala 'couple'.

Mereka hangat bercinta.

Namun, menurut apa yang saya lihat sendiri di hadapan mata ramai yang akhirnya 'clash' ataupun istilah lainnya 'break-up'. Yang berkekalan mungkin ada, namun bilangannya tidak banyak. Bahkan, tidak kurang juga mereka yang telah berkali-kali tukar pasangan, namun tetap jodoh mereka tidak diketemukan.

Janji-janji setia di waktu kehangatannya cinta, kebanyakannya hanya tinggal kata-kata yang menyakiti jiwa.

Namun, mengapa semua ini berlaku?

Usaha telah kita letakkan, namun mengapa masih si dia yang bernama jodoh tidak hadir-hadir dalam hidup kita?

Atau apakah selama ini kita silap dalam berusaha?
Jodoh – suatu ketentuan?

Sebelum saya heret permasalahan ini dengan lebih mendalam, suka saya sentuh dasar topik ini yakni perihal jodoh.

Jodoh, adakah ia suatu ketentuan?

"... Sesungguhnya Allah melaksanakan urusan (yang dikehendaki) Nya. Sesungguhnya Allah telah mengadakan ketentuan bagi tiap-tiap sesuatu." - \[Surah Ath-Thalaq, 65: 3]

Benar. Jodoh itu merupakan salah satu ketentuan dari Allah.

Malah, bagi orang Islam, meyakini Qadha' dan Qadar yang ditentukanNya merupakan suatu kewajipan. Beriman kepada Qadha' dan Qadar, merupakan salah satu dari rukun iman. Yakni bererti, tidak beriman kepadanya akan membawa kepada iman yang tidak sempurna.

Sebagaimana dalam sebuah hadis mahsyur berkenaan rukun Iman (saya hanya memetik sebahagian darinya),

Malaikat jibril yang pada ketika itu menyerupai seorang lelaki berkata, "Kemudian beritahukanlah padaku tentang Iman."

Rasulullah s.a.w. bersabda,

"Iaitu hendaklah engkau beriman kepada Allah, malaikat-malaikatNya, kitab-kitabNya, rasul-rasulNya, hari penghabisan - kiamat - dan hendaklah engkau beriman pula kepada takdir(Qadha' dan Qadar), yang baik ataupun yang buruk -semuanya dari Allah jua."

Lelaki itu berkata: "Tuan benar."

\[HR. Muslim]

Maka di sini perlu kita lihat bahawa soal jodoh dan pertemuan ini semuanya berada terletak pada ketentuan Allah. Tiada sesuatupun yang akan berlaku, melainkan dengan izinNya.

Berbalik pada persoalan awal kita, maka perlukah kita berusaha untuknya?

Usaha yang sebenarnya



Sudah menjadi sunnatullah (hukum alam, berdasarkan ketetapan Allah), bahawa dalam mendapatkan apa-apa sahaja di dalam dunia ini, kita perlu kepada sesuatu yang kita panggil 'usaha'.

Baik. Bagaimana untuk kita berusaha dalam soal jodoh ini? Adakah sejak sekarang, kita seharusnya sudah mula berusaha mencari?

Saya sependapat dengan Ustaz Hasrizal.

Dalam persoalan usaha ini, pertamanya, ada baiknya kita ukur kain di badan sendiri dahulu.

Jika dalam masa terdekat kita tahu yang kita belum bersedia untuk melangsungkan pernikahan (atas apa-apa sebab sekalipun), maka 'usaha mencari @ menawan' itu masih tidak perlu.

Masa terdekat itu kita boleh ambil dalam lingkungan setahun.

Ya, tidak perlu. Mengapa?

Kerana apabila kita sudah mula mencari, dalam keadaan diri langsung amat jauh dari persediaan untuk menikah itu sendiri, maka, banyak masalah bakal timbul. Percaya?

Setelah berkenal-kenalan, dan saling meminati mungkin, sudah menjadi lumrah kedua-dua insan itu pasti mahu mengikat diri mereka dengan 'pasangannya itu', dengan suatu ikatan atau perhubungan. Melalui ikatan itu mereka akan rasa saling memiliki dan punya masa depan bersama.

Namun, cuba katakan, apakah masih ada ikatan yang sah (halal) yang dapat ada antara dua orang bukan mahram, selain dari ikatan pernikahan?

Tiada.

Yang ada mungkin persaudaraan dalam Islam. Dan, itu tidak mengubah apa-apa, kerana ia tidak pula menghalalkan mereka untuk saling berhubungan.

Lalu, akhirnya kita dapat melihat ramai di antara mereka yang ber'couple' dan mengadakan janji setia untuk mengikat perhubungan mereka.

Dan tempoh masa yang masih panjang (dari masa pernikahan) tadi akan menarik mereka untuk membuat perkara-perkara lain pula. Zina hati jangan di cerita. Zina tangan (persentuhan) dan zina-zina lain juga dengan mudah dapat dilakukan apabila diri sudah tidak mampu lagi menahan syahwat.

"Mata boleh berzina dgn melihat, lidah boleh berzina dengan bercakap, tangan boleh berzina dengan berpegangan. Kaki boleh berzina dengan berjalan ke arah tempat maksiat. Hati pula boleh berzina dgn merindui, mengingati dan membayangi si dia." - \[HR Bukhari dan Muslim]

Malah akhirnya, berdasarkan pemerhatian saya sendiri, tidak ramai di antara mereka yang dapat mempertahankan hubungan mereka. Perpisahan terjadi.

Itulah hasilnya apabila perhubungan yang diadakan hanya dilandaskan atas suka sama suka, tetapi tidak hadir bersamanya tanggungjawab. Dan kesilapan kita juga, yang kadang meletakkan ketepi kuasa Allah dalam persoalan jodoh. Na'udzubillahimindzalik.

Dan wahai hati-hati yang suci.. Jikalaupun ikatan yang dibina itu mampu berkekalan sekalipun, namun, apakah yang masih kita mahu berharap padaNya, jika usaha yang diletakkan pun tidak menepati kehendak syarak atau lebih jelasnya, bertentangan dengan kehendak Allah?

Justeru, di sini suka saya tekankan sekali lagi.

Jika kita tahu bahawa kita belum lagi merancang untuk memasuki gerbang pernikahan dalam tempoh terdekat ini, justeru, tidak perlulah pada usaha 'mencari jodoh'. Dikhuatiri, usaha itu hanya bakal mengundang perkara buruk kepada rumah tangga kita kelak.

Jodoh itu dalam ketentuanNya, maka, jika kita mahu berusaha pun, mengapa kita perlu mengambil usaha-usaha yang tidak Dia suka? Bukankah akhirnya, Dia juga yang menentukan segala?

Jika sudah mampu

Seperti yang saya katakan bagi mereka yang sudah merancang untuk melakukan pernikahan dalam masa terdekat, tidak salah untuk mereka mula 'berusaha untuk mencari' bakal pasangan mereka. Dan semestinya dalam tempoh ini, batas-batas pergaulan tetap perlu dijaga.

Sebaik-baiknya, kita ikuti sunnah. Baik di pihak lelaki maupun perempuan. Yakni jika sudah ada yang berkenan, gunakan orang tengah untuk mengenali latar belakang mereka, dan juga memanjangkan hasrat.

Dan jika merasakan tempoh untuk berkenal-kenalan itu diperlukan, maka ambillah jalan untuk bertunang. Walau tetap, ia tidak menghalalkan apa-apa, namun ia adalah ruang terbaik untuk mereka saling berkenal-kenalan sebelum bernikah.
Usaha yang perlu digerakkan - Men'jadi' & Mempersiapkan diri

Ok. Kalau kita ini agak-agaknya lambat lagi mahu bernikah, maka adakah ini bererti kita tidak perlu berusaha apa-apa?

Tidak juga sebenarnya. Usaha itu masih tetap ada.. tetapi dalam bentuk lain la.

Usaha yang perlu kita letakkan itu adalah lebih kepada 'MENJADI" daripada 'MENCARI'.

Ya. Kita pasti mahukan mereka yang soleh/ah untuk menjadi pasangan kita. Itu telah menjadi lumrah. Oleh itu, dalam kita mahu mendapatkan yang soleh, kita perlu JADI soleh terlebih dahulu. kan?

Iya. Kerana sesungguhnya, Allah akan menyediakan pasangan buat kita, sesuai dengan tahap keimanan diri kita juga.

Sebagaimana firmanNya dalam surah An-Nur, ayat ke-26,

"Perempuan-perempuan yang keji adalah untuk laki-laki yang keji, dan laki-laki yang keji untuk perempuan-perempuan yang keji (pula), sedangkan perempuan-perempuan yang baik untuk laki-laki yang baik, dan laki-laki yang baik untuk perempuan-perempuan yang baik (pula). Mereka itu bersih dari apa yang dituduhkan orang. Mereka memperoleh ampunan dan rezeki yang mulia (surga)." - \[Surah An-Nur, 24: 26]

Makanya, mahukan pasangan yang baik, usahanya, menjadi baik terlebih dahulu. Ini lebih utama. Allah yang menetapkan jodoh kita, maka kita perlu yakin, inilah cara yang sebaik-baiknya.

Jika kita hanya limitkan definisi usaha kita hanya pada mencari, maka pada saya, kita sudah silap besar.

Mungkin... pasangan kita itu 'tampak' soleh, tetapi tetap, kita akan dapat pasangan sesuai dengan tahap iman kita juga. Baik akan dapat baik, inshaAllah. Jahat dapat jahat.

Kalau jalan yang diambil pun kurang bertepatan dengan syarak, maka tak perlulah kita nak mengharapkan sangat yang baik dan sentiasa menjaga diri.

Dan pada saya, usaha lain juga, yang tidak kurang utamanya, adalah mempersiapkan diri untuk menghadapi pernikahan.

Mengapa? Kerana membina masjid hakikatnya bukan takat sehari dua. Tidak cukup. Cuma, jika kita mahukan masjid yang bertahan sehari dua juga mungkinlah.

Oleh itu, persediaan dari sudut mental dan ilmu itu amat-amatlah perlu sejak sekarang lagi.

Sebagai lelaki, kita perlu melatih diri kita agar mampu memimpin, mampu hidup berdikari. Dan sudah tentu kemudiannya mampu menjadi qudwah atau contoh tauladan yang baik buat keluarga.

Sebagai wanita pula, persiapkanlah diri kalian dengan ilmu. Harapannya, dengan tarbiyyah (didik) dari tangan-tangan kalian, anak-anak itulah yang bakal menjadi pejuang-pejuang Islam suatu hari nanti, inshaAllah. Kalian perlu sedar, bahawa kalianlah pentarbiyyah utama generasi masa hadapan. Masa depan umat, hakikatnya, terletak di tangan-tangan kalian.

Dan tanggungjawab sebesar itu, seharusnya disertai dengan persiapan yang tidak kurang besarnya juga.

Latihan-latihan dan persiapan diri ini... mampukah dilakukan hanya sehari dua, atau cukupkah hanya sebulan sebelum pernikahan?

Sudah tentu tidak.

Maka ayuh, kita mula mempersiapkan diri kita mulai hari ini juga.

Jika redha Allah yang dicari...

Sudah nampak apa yang harus dilakukan?

Saya jadi teringat akan kisah saya masa sekolah dahulu. Melihat rakan-rakan ramai yang ber'couple', perasaan takut itu muncul, dikhuatiri nanti semua habis dikebas orang (haha.. ye ke?).

Oleh sebab itu saya juga tidak terlepas dalam usaha mencari jodoh ini, kononnya. Dan diringkaskan cerita, di waktu saya hampir saja mahu mengambil tindakan itu (ber'couple'), saya diberikanNya petunjuk (dalam bentuk ilmu dan kefahaman) bahawa rupanya pemahaman saya selama ini silap. Alhamdulillah.

Jika mahu diikutkan, tatkala petunjuk itu sampai, boleh sahaja saya untuk menidakkannya, dengan tetap meneruskan perancangan dan 'kehendak' saya. Namun, saya sedar, bukankah tindakan saya itu hanya suatu tindakan yang bodoh?

Allah sudah pun memberi petunjukNya, dan ditakuti, selepas ini, Dia tidak lagi ingin memberi petunjuk kepada saya, atas sebab saya tidak pandai menghargai petunjuk yang telah Dia berikan. Maka, bukankah pada hakikatnya saya hanya menzalimi diri saya sendiri?

Justeru, suka saya katakan, jika petunjuk Allah yang kita cari, jika redha Allah yang kita mahukan dalam rumah tangga kita nanti, maka berusahalah... dengan usaha yang sesuai dengan apa yang Allah izinkan.

Jika kita sibuk menggauli perempuan sana, perempuan sini, lelaki sana, lelaki sini, sedangkan, jodoh kita masih belum kita ketahui siapa, maka, pada pendapat peribadi saya, kita juga seakan-akan sudah berkhianat kepada bakal jodoh kita nanti. Benarkah? Ya, kerana kemesraan dan sebagainya itu, bukankah hanya layak untuk pasangan halal kita sahaja? Dan di pihak kita pun, kalau boleh, sudah tentu kita juga mahukan mereka yang soleh dan masih terperlihara juga bukan?

Kerana.. sudah menjadi lumrah manusia, akan lebih tertarik pada sesuatu yang terpelihara dan terjaga.

Dan sudah tentu, apa yang menjadi lebih besar lagi, adalah kerana kita seakan-akan menidakkan kuasa Allah ta'ala. Na'udzubillahimindzalik. Terkadang, kita lebih 'beriman' (percaya) kepada usaha kita, berbanding iman (kepercayaan) kita terhadap Qadha' dan Qadar yang ditentukan Allah.

Ya. Manusia itu digalakkan berusaha. Namun, usaha-usaha yang mengundang murkaNya, apakah itu akan dikiraNya sebagai usaha yang baik dalam isu jodoh ini? Jika kita mahukan pasangan yang tidak soleh, mungkin.. ia masih dapat dikira sebagai usaha.

Namun, bukan itu yang kita mahukan bukan?

Di sini, kita perlu yakin bahawa hakikatnya, setiap apa-apa yang berlaku itu, berada dalam kekuasaanNya. Gejala zina, buang anak dan sebagainya pada hari ini, atas kefahaman dan kepercayaan yang silap dalam hal ini juga.

Justeru, ayuh kita kembali meletakkan Al-Qur'an dan sunnah sebagai teras dalam hidup masyarakat kita.

Yakinlah, jalan yang Allah tentukan ini, bukan untuk menidakkan fitrah kita. Tidak. Sebaliknya, Allah mahu memeliharanya. Ianya, demi kebaikan kita juga.

Wahai hati-hati yang suci. . .

Katakanlah,

'Jika petunjukNya telah sampai, masihkah aku mahu menidakkannya?'

" ... Barangsiapa bertaqwa kepada Allah, nescaya Dia akan membukakan jalan keluar bagiNya, dan Dia memberinya rezeki dari arah yang tidak disangka-sangkanya. Dan barangsiapa bertawakkal kepada Allah, nescaya Allah akan mencukupkan (keperluan)nya. Sesungguhnya Allah melaksanakan urusanNya. Sungguh, Allah telah mengadakan ketentuan bagi setiap sesuatu." - \[Surah Ath-Thalaq, 65: 2-3]
Sel, 22 Feb 2011 10:24 | Hariz Khair Ad-Deen | Editor: mawaryangtinggi